Buat kerja sampingan, jangan buat kerja lebih masa jika tak dibayar: Cuepacs
Written By teacher on Thursday, February 25, 2010 | 4:31 PM
KUALA LUMPUR: Cuepacs menyarankan pekerja Kumpulan Sokongan II membuat kerja sampingan bagi menjana pendapatan tambahan sekiranya jabatan tidak mempunyai peruntukan bagi membayar kerja lebih masa yang dilakukan.
Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs ada menerima aduan dari pekerja kumpulan sokongan itu bahawa mereka tidak dibayar bagi kerja lebih masa yang dilakukan atas alasan jabatan tidak mempunyai peruntukan atau "bajet".
"Jadi buatlah kerja anda seperti biasa dari 8 pagi hingga 5 petang, lepas itu tidak perlulah buat OT (kerja lebih masa), pergilah tukar baju, jadi pemandu teksi ke," katanya ketika ditemui pemberita pada bengkel tatatertib sektor awam dan mesyuarat khas Majlis Kongres Cuepacs di sini hari ini.
Omar berkata pihak jabatan sepatutnya membayar kerja lebih masa yang dilakukan walaupun tidak sepenuhnya agar tidak menjejaskan produktiviti.
"Janganlah tidak membayar langsung. Contohnya, jika pekerja buat kerja lebih masa 100 jam, sekiranya jabatan tidak boleh membayar 100 jam, bayarlah bagi 70 jam kerja lebih masa. Lagi 30 jam dijadikan sebagai cuti gantian," katanya.
Omar berkata terdapat hampir 450,000 pekerja Kumpulan Sokongan II di bawah Gred 1 hingga 16 yang terdiri daripada pemandu, pembantu am pejabat, pembantu rawatan kesihatan dan pekerja rendah awam yang mana 60 peratus daripadanya membuat kerja lebih masa.
Sementara itu, beliau meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula Pekeliling Perkhidmatan Awam Bilangan 4/2010 supaya memberikan bayaran pampasan sepenuhnya kepada mana-mana kakitangan awam yang memilih untuk bersara awal.
"Ketika ini mana-mana kakitangan awam yang bersara awal dibayar pampasan 20 peratus daripada gaji akhir mereka atau RM10,000. Dan bakinya dibayar selepas mereka berumur 56 atau 58 tahun. Jadi, saya harap JPA dapat kaji semula pekeliling ini," katanya.
Beliau juga berkata mana-mana anggota perkhidmatan awam yang dibuang kerja kerana melakukan kesalahan tatatertib yang tidak melibatkan rasuah atau jenayah layak menerima pampasan sepanjang perkhidmatannya.
Mengenai sama ada tindakan akan diambil terhadap Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin kerana mengeluarkan kenyataan tentang kebimbangan penguasaan wanita dalam sektor awam hingga dikritik banyak pihak, Omar berkata satu mesyuarat khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.
Ahmad Shah dilaporkan berkata trend masa kini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara. - Bernama
Labels:
Semasa
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !