PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran mensasarkan peningkatan sebanyak lima peratus daripada 10,000 sekolah di seluruh negara dinaik taraf kepada lima bintang mengikut Tahap Piawaian Sekolah Bestari, menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata daripada jumlah itu 75 peratus akan dinaik taraf kepada sekolah tiga bintang dan 20 peratus lagi kepada empat bintang.
"Pada tahun lalu sebanyak 8,454 sekolah diberikan penarafan dan daripada jumlah itu sebanyak 7,575 mencapai tahap tiga hingga lima bintang," katanya kepada pemberita selepas Pembentangan Laporan Program Sekolah Bestari Luar Bandar di sini hari ini.
Alimuddin berkata, pada tahun ini juga sebanyak 35 sekolah luar bandar telah dikenal pasti untuk menjalani program Sekolah Bestari Luar Bandar bagi fasa kedua program itu.
"Pada fasa pertama tahun lepas sebanyak 15 buah sekolah sudah menjalani program itu dan telah menunjukkan peningkatan ketara teruatamanya dalam pembudayaan penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT)," katanya.
Selain itu, beliau berkata program itu didapati mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, sekali gus memberi motivasi kepada pelajar untuk membabitkan diri dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Sekolah yang terpilih dalam program berkenaan terdiri daripada kategori sekolah menengah harian, sekolah teknik vokasional, sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah pendidikan khas, sekolah Felda dan sekolah orang asli atau Penan. - Bernama
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !