Koleksi buku Rasulullah SAW - ReadHeadline
Headlines News :
Home » » Koleksi buku Rasulullah SAW

Koleksi buku Rasulullah SAW

Written By teacher on Sunday, February 21, 2010 | 3:13 AM



SAMBUTAN Maulidur Rasul adalah antara cara mengingati sirah Nabi Muhammad SAW, begitu juga dengan persoalan Hijrah baginda Rasulullah dari kota Mekah ke kota Madinah, Israk Mikraj dan lain-lain.

Seperti kelaziman, umat Islam di Malaysia akan menyambut hari sempena keputeraan Rasulullah SAW pada 12 Rabiulawal setiap tahun.

Bulan Rabiulawal mencatat pelbagai peristiwa penting dalam sejarah tamadun Islam antara yang terbesar adalah kelahiran Nabi Muhammad SAW, pelantikan Nabi sebagai Rasul junjungan selain wafatnya Rasulullah SAW yang dikebumikan di Madinah Al-Munawwarah pada bulan yang sama.

Untuk itu, beberapa penulis juga teruja menulis buku bagi berkongsi rasa gembira mereka bersama pembaca, sekali gus menghayati aspek ilmu dan mengenali sejarah perjalanan hidup seorang nabi.

Mereka membincangkan aspek penulisan buku-buku agama dan berkongsi rasa cinta mereka kepada Rasulullah pada pertemuan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini.

"Saya melihat peribadi Nabi Muhammad daripada aspek seorang pahlawan. Seperti pesan Saidina Ali, jika orang melihat wajah Nabi Muhammad pasti berasa gerun dan takut akan kehebatan wajah nabi.

"Namun jika tinggal lama dengan Nabi Muhammad orang itu berasa sayang dan kasih kepadanya," ujar penulis buku Muhammad bin Abdullah, Peribadi Seorang Pahlawan, Abdul Hakim Ahmad.

Abdul Hakim, menggalakkan pembaca menterjemah semangat pahlawan itu bagi menentukan masa generasi akan datang dan memastikan syiar Islam terus terbela.

Manakala menurut penulis buku, Jejak Bisnes Rasul, Prof. Emeritus Dr. Mohamed Sulaiman, bagi menghayati strategi bisnes cara Nabi Muhammad kami mencari pelbagai maklumat bagi memberi panduan dalam aspek mengurus bisnes.

"Metodologi mengumpulkan 40 strategi ini berdasarkan tiga sumber iaitu, al-Quran, sunnah, strategi dakwah dan taktik peperangan yang diambil daripada Fikah Sirah," ujarnya yang juga Pensyarah di Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, UIAM.

Penulis bersama buku itu, Aizuddinur Zakaria, mengangkat semangatnya sebagai anak muda mahu berkongsi ilmu melalui buku ini, dan mahu mengaplikasikan apa yang dipelajari semasa di kuliah ke lapangan pekerjaan.

"Bagi saya pembaca boleh membaca resume Muhammad bin Abdullah yang kami permudahkan supaya ia nampak segar dan pembaca dapat menjadikannya panduan dalam urusan kehidupan dan mengikut sunnah Nabi Muhammad," katanya.

Pertemuan singkat antara penulis pada hari itu juga menemukan Imran Yusuf penulis buku Bagaikan Khadijah di Hati Rasullullah.

"Kami berusaha memberi model dalam hubungan kekeluargaan bagi menjadikan isteri nabi sebagai contoh tauladan dan panduan berguna bakal pengantin serta elok dijadikan hadiah untuk bakal pengantin," katanya.

Mereka semua menjadikan buku Biografi Muhammad bin Abdullah sebagai panduan asas dan terbitan buku tulisan Prof. Datuk Dr. Zulkifli Mohd Yusoff dan Prof. Madya Dr. Nor Naemah Abd. Rahman itu berjaya memberi ilmu sepenuhnya berkenaan peribadi seorang nabi dan memeriahkan lagi diskusi berkenaan junjungan besar yang dikasihi umat Islam, Muhammad bin Abdullah, pesuruh Allah.

Lantaran itu, pelbagai informasi akan disiarkan setiap hari pada web http://www.pts.com.my bagi menggalakkan khalayak mengenali Nabi Muhammad melalui buku-buku bermanfaat dan mudah dibaca. Juga bagi memberitahu informasi yang barangkali sudah dilupai dan ia sebagai suis pengingat bagi menghayati perjuangan Nabi Muhammad menyebar syiar Islam.

Laman mikro, http://www.pts.com.my/maulud diwujudkan bagi memudahkan pembaca melihat dan seterusnya membeli buku-buku berkaitan peribadi Nabi Muhammad SAW.

Ada berkenaan biografi Muhammad, jejak bisnes, jeneral perang, kisah isteri beliau, beriman kepada Rasul, tips sihat cara Rasul dan sebagainya.

Semoga laman mikro ini membantu memberi fakta yang betul untuk rujukan pembaca dan seterusnya merancakkan sambutan Maulidur Rasul bagi tahun 1431 Hijrah dan seterusnya.

Semoga sambutan kali ini akan lebih bermakna dengan kita membaca dan meneladani perjalanan hidup seorang Nabi yang membawa rahmat seluruh alam.

Oleh MOHD. ROSLAN MD. ISA
celan82@gmail.com
utusanonline
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

Popular Posts

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2011. ReadHeadline - All Rights Reserved
Template Design by Creating Website Published by Mas Template