Rempit guna motor bapa
Written By teacher on Monday, February 22, 2010 | 7:01 AM
KUALA TERENGGANU: Dua remaja yang masih di bangku sekolah bukan saja mempertaruhkan nyawa melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal, malah sanggup menipu ibu bapa sendiri dengan meminta wang kononnya untuk menjalani latihan badminton.
Bagaimanapun, penipuan itu terbongkar selepas dua pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Marang itu ditahan ketika melakukan aksi berkenaan.
Mereka bukan saja membahayakan diri, malah memperlekehkan anggota polis ketika melarikan diri menggunakan motosikal bapa seorang daripada remaja terbabit yang diubah suai serta tidak mempunyai nombor pendaftaran.
Remaja terbabit yang ditahan itu ketika disoal siasat memberitahu terpaksa berbuat demikian bagi memenuhi desakan rakan sebaya supaya berlumba haram selain membohongi ibu bapanya dengan alasan ingin menjalani latihan badminton untuk memperoleh wang setiap kali keluar rumah.
Pegawai Turus Trafik Terengganu, Asisten Superintendan Ismail Man, berkata mereka ditahan jam 6 petang kelmarin di Jalan Taman Sapiah Murni menerusi Ops Cantas Samseng Jalanan.
Menurutnya, seorang remaja terbabit memberi pelbagai alasan kononnya menjalani latihan sukan badminton sebaliknya wang itu digunakan untuk mengubah suai motosikal bapanya.
Beliau berkata, seorang pelajar tingkatan dua antara yang ditahan memberitahu bapanya membenarkannya menaiki motosikal miliknya ke sekolah sejak awal tahun ini dan berasa tercabar apabila diajak rakan untuk melakukan aksi berkenaan.
“Dua remaja yang ditahan bersama 20 remaja lain melakukan aksi berbahaya di jalan berkenaan dan perbuatan itu diintip 20 minit dua anggota unit ronda dari Balai Polis Bukit Payong, Marang.
“Dua anggota polis itu kemudian mengarah berhenti, tetapi mereka cuba meloloskan diri selain hampir melanggar anggota polis sebelum memecut dari kawasan berkenaan,” katanya.
Ismail berkata, mereka yang tidak memakai topi keledar dan menunggang motosikal diubah suai itu turut mengingkari lampu isyarat sebelum dikejar sejauh lima kilometer.
“Ketika dikejar anggota kami, mereka turut mengejek dan mentertawakan polis. Bagaimanapun, motosikal dinaiki dua remaja terbabit gagal dikawal lalu terbabas ke dalam semak di Jalan Kampung Kekabu dan ditahan,” katanya.
Oleh Taufik Daud
am@hmetro.com.my
2010/02/22
Labels:
Semasa
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !